Thursday, August 26, 2010
10 Teknik Menjaga Persahabatan
1. Bersikap Santai
Elakkan daripada bertubi-tubi menelefon atau menghantar emel hanya kerana mahu bertanyakan hal-hal yang kecil. Kamu hanya akan membuatkan sahabatmu jadi bosan kerana setiap saat hanya kamu sahaja yang perlu dilayan, baik di telefon mahupun melalui emel. Sebaiknya berkomunikasilah secara singkat. Hanya 5 minit berbicara di telefon atau beberapa kalimat dalam emel sudah memadai untuk membuktikan kamu sahabat yang baik.
2. Hormatilah Waktu
Biar pun kamu ada hal penting untuk dikongsi bersama sahabatmu, namun janganlah sampai mengganggu waktu tidurnya. Bijak membezakan mana yang betul-betul penting dan yang boleh ditunggu keesokan harinya. Jangan sampai hanya mahu memberitahunya kamu bertengkar dengan kekasih, kamu menghubunginya pukul 2.00 pagi. Siapa yang tidak marah?
3. Berterus-terang
Ada masanya apabila kamu punya masalah besar kamu jadi marah, tidak ada mood untuk bergurau serta lebih suka bersendiri. Terangkan pada sahabatmu tentang itu dan berikan kamu sedikit masa untuk bersendiri menenangkan fikiran. Jangan buat dia tertanya-tanya apa yang berlaku dan apa salahnya sehingga kamu sepi tanpa berita. Belajarlah untuk berterus-terang kerana berterus-terang itu lebih baik daripada kamu membiarkan dia membuat tanggapan sendiri.
4. Memahami Pandangan Orang
Ini adalah sangat penting. Kamu mungkin ingat sahabatmu sudah cukup senang dengan sikap kamu tetapi rupanya tidak. Sebaliknya dia memendam banyak ketidakpuasan hati tentang sikapmu. Jadi pastikan kamu memahami apa yang sahabat-sahabatmu rasa tentang dirimu. Sekiranya kamu gagal mendapat jawapan sendiri, tanyakankepada mereka secara jujur. Catat apa saja yang perlu kamu perbaiki dan berusahalah untuk memperbaikinya.
5. Tidak Perlu Bersaing
Jangan biarkan persahabatan berubah menjadi medan persaingan siapa yang paling kaya, siapa yang pakaiannya paling berjenama dan trendy atau siapa yang mempunyai kereta paling besar dan mahal. Persaingan yang tidak sihat ini hanya akan membuat persahabatan menjadi permusuhan. Apalah gunanya kamu ada segala-gala tetapi tiada orang yang sudi berkawan dengan kamu. Jadi pastikan kamu kikis semua perasaan riak itu.
6. Imej Yang Bersih
Sentiasa pastikan kamu mempunyai imej diri yang realistik dan baik. Bersikap sombong atau selalu mengkritik hanya akan membuat persahabatan rosak dan ramai yang akan menjauhkan diri daripada kamu. Andai kamu mahu menegur sekalipun, gunakanlah cara yang paling baik dan beri nasihat untuk kebaikannya bukan untuk menyakitkan hatinya.
7. Terlalu Banyak Merungut
Setiap kali bertemu, ada sahaja yang kamu tidak puas hati. Merungut tentang keluarga, kekasih, pakaian, kereta dan sebagainya. Jangat berterusan merungut kerana itu akan membuatkan persahabatan sangat membosankan.
8. Terapkan Nilai Murni
Sekiranya kamu berharap akan mempunyai shabat yang baik serta jujur dengan kamu. Kamu sendiri juga perlu mempunyai sifat yang sama. Gali sebanyak mungkin nilai-nilai murni yang perlu kamu terpakan dalam diri seperti jujur, prihatin, bertanggungjawab, adil dan bekerjasama. Hal itu juga akan meningkatkan keyakinan diri kamu dan secara tidak langsung akan menjadikan kamu shabat yang menghiburkan serta menarik untuk didampingi.
9. Sense of Humor
Janganlah terlalu serius. Sekali sekala apa kata kamu cuba bergurau dan mengusik. Cara ini secara tidak langsung dapat mewarnai lagi persahabatan kamu. Namun, harus diingat bergurau juga ada hadnya jangan sampai menyentuh hal-hal yang dianggap sensitif oleh sahabatmu.
10. Menjadi Pendengar Yang Baik
Bertanyakan juga tentang masalah sahabatmu dan jangan hanya membicarakan masalah kamu sahaja. Persahabatan tidak akan bertahan kalau kamu hanya menumpukan pada diri kamu sendiri. Sahabat yang baik harus sentiasa bersedia mendengar masalah sahabatnya. Biarpun mungkin kamu tidak dapat memberikan sebarang bantuan, namun dengan mendengar masalahnya, kamu sudah berjaya meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh sahabatmu itu.
Sumber: Majalah Remaja, 15 Jun 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment