Wednesday, December 29, 2010

PANTUN LUCU

1. Naik kereta tak ada roda,
    Kereta berjalan dengan kaki,
    Janganlah kita mudah tergoda,
    Dengan janji yang belum pasti.

2. Gigi rongak penyeri wajah,
    Bila ketawa orang pun suka,
    Siapa kata hatinya patah,
    Kalau patah mana tulangnya.

3. Kasi nasi ditelannya sudu,
    Kasi air ditelannya baldi,
    Alangkah bodoh jadi perindu,
    Jika yang dirindu tidak peduli.

4.   Lembu melaram fesyen rockers,
      Beruk betina mengada-ngada,
      Biar kita digelar rockers,
      Asalkan iman teguh di dada.

5.   Bapak kuda kena sunat,
      Lubang hidung naik berkarat,
      Hidup jangan suka berkhianat,
      Nanti tak selamat dunia akhirat.

6.   Tikus sunti hilang dara,
      Hantu kudung cabut lari,
      Jangan mungkiri janji setia,
      Balasanny pada diri sendiri.

7.   Gajah tempang pandu lori,
      Siput babi sakit mata,
      Kalau benar kasihkan diri,
      Kenapa dibiar merana kerana cinta.

8.   Tahi mata masak kari,
      Senyum simpul macam kerang,
      Pantang beranak 44 hari,
      Pantang kekasih berlaku curang.

9.   Potong bisul masal lauk,
      Campur rencah kudis kurap,
      Jangan buat perangai buruk,
      Tengok muka orang fed-up.

10. Anjing gila jatuh cinta,
      Puntianak bersanding di pokok nangka,
      Masa bercinta tak ingat dunia,
      Bila kecewa baru padan muka.

11. Badak sumbu sakit gigi,
      Pergi klinik gila babi,
      Kalau hati merasa sepi,
      Carilah teman yang baik budi.

12. Potong rambut dengan sabit,
      Cacing kerawit bertali leher,
      Walaupun putus cinta itu sakit,
      Tapi sakit lagi putus leher.

13. Kepala kurap ada lebah,
      Buaya bersanding bininya tiga,
      Jatuh cinta memangnya mudah,
      Tapi kenapa susah nak setia.

14. Tahi hidung bau durian,
      Puntianak menulis surat,
      Jika selalu ingat tuhan,
      Hidup selamat dunia akhirat.

15. Sharifah Aini jual aiskrim,
      Tikus mondok datang membeli,
      Bersama kita eratkan silaturahim,
      Jauhi perbuatan hasad dengki.










Tuesday, September 7, 2010

Ritual Cantik Bunga Cempaka

Lembutkan Kulit Wajah
Kisar 5 kuntum bunga cempaka dan 5 kuntum bunga melur hingga halus.
Campurkan dengan bedak sejuk. Sapukan pada muka pada setiap malam.

Sumber: Majalah Intrend, Ogos 2009

Ritual Cantik Bunga Melur

1. Elakkan Muka Sembap
Campurkan sebiji putih telur, ¼ sudu madu, ¼ minyak zaitun, sebiji limau nipis (perah dan ambil airnya), 5 kuntum bunga melur yang sedang mekar dan 5 biji badam yang dikupas kulit. Kisar semua bahan sampai halus dan sapukan pada muka. Biarkan selama 10 minit dan bilas dengan air.

2. Atasi Jeragat dan Pigmentasi
Campurkan beberapa putik jambu batu dengan beberapa putik bunga melur dan kisar sehingga halus. Kemudian, sapukan pada muka dan biarkan selama 30 minit. Insya’Allah jeragat akan beransur hilang.

Sumber: Majalah Intrend, Ogos 2009

Ritual Cantik Bunga Kenanga

1. Hindari Rambut Gugur
Campurkan air asam jawa dan santan ke dalam satu bekas. Masukkan beberapa kuntum bunga kenangan atau bunga-bunga yang wangi. Basuh rambut menggunakan campuran tersebut. Rambut akan berbau harum tanpa disyampu.

2. Menyegarkan Badan
Amalan mandi bunga mampu menaikkan seri wajah dan mencantikkan kulit. pilih bunga berbau wangi seperti bunga kenanga dan seelok-eloknya bunga yang mempunyai pelbagai warna. Titiskan minyak aromaterapi dan masukkan kuntuman pelbagai jenis bunga. Berendam dan nikmati aroma mandi bunga agar kulit tubuh lebih lembut dan halus.

3. Cegah Jerawat
Giling beras sehingga halus. Masukkan buah pinang muda yang dikisar. Campurkan bahan ini bersama bunga kenanga, melati dan daun pandan yang diraut halus. Tambah sedikit air sehingga ia menjadi pekat. Sapukan pada wajah, ia dipercayai menghaluskan kulit wajah dan menghilangkan jerawat.

4. Atasi Kelemumur
Ambil 10 helai daun bunga raya, 4 helai daun limau purut, 3 kuntum bunga (kenanga, cempaka dan mawar) dan sedikit air limau nipis. Ramas sehingga mengeluarkan lendir dan lumur di atas kepala selama 15 minit. Kemudian bilas dengan air.

Sumber: Majalah Intrend, Ogos 2009

Ritual Cantik Bunga Raya

1. Lebatkan Rambut
Ambil daun bunga raya yang bersih dan ramas sehingga keluar lendir. Ambil lendirnya dan campurkan sebiji telur ayam kampung dengan satu sudu madu lebah. Kemudian, gaul dan sapukan pada rambut. Perap dengan tuala selama 10 minit dan kemudian bilas rambut sehingga kering. Amalkan 2 kali sehari.

2. Elakkan Rambut Gugur
Ambil daun lidah buaya dan daun bunga raya putih. Campur dan kisarkan sehingga lumat. Kemudian, sapukan pada rambut. Biarkan selama 10 hingga 15 minit dan bilas dengan air. Petua ini dipercayai membantu untuk atasi masalah keguguran rambut.

3. Menghitam dan Melebatkan Bulu Kening
Ambil beberapa kuntum bunga raya lalu bakar bunga raya dan daunnya. Apabila menjadi abu, sapukan pada bulu kening. Ia dipercayai dapat melebat dan menghitamkan bulu kening.

4. Awet Muda
Mengikut petua tradisional diraja, amalan memakan beberapa kuntum bunga raya yang belum kembang pada waktu pagi sebelum sarapan dipercayai membantu kamu kelihatan awet muda. Menarik bukan?

Sumber: Majalah Intrend, Ogos 2009

Thursday, August 26, 2010

10 Teknik Menjaga Persahabatan


1. Bersikap Santai
Elakkan daripada bertubi-tubi menelefon atau menghantar emel hanya kerana mahu bertanyakan hal-hal yang kecil. Kamu hanya akan membuatkan sahabatmu jadi bosan kerana setiap saat hanya kamu sahaja yang perlu dilayan, baik di telefon mahupun melalui emel. Sebaiknya berkomunikasilah secara singkat. Hanya 5 minit berbicara di telefon atau beberapa kalimat dalam emel sudah memadai untuk membuktikan kamu sahabat yang baik.

2. Hormatilah Waktu
Biar pun kamu ada hal penting untuk dikongsi bersama sahabatmu, namun janganlah sampai mengganggu waktu tidurnya. Bijak membezakan mana yang betul-betul penting dan yang boleh ditunggu keesokan harinya. Jangan sampai hanya mahu memberitahunya kamu bertengkar dengan kekasih, kamu menghubunginya pukul 2.00 pagi. Siapa yang tidak marah?

3. Berterus-terang
Ada masanya apabila kamu punya masalah besar kamu jadi marah, tidak ada mood untuk bergurau serta lebih suka bersendiri. Terangkan pada sahabatmu tentang itu dan berikan kamu sedikit masa untuk bersendiri menenangkan fikiran. Jangan buat dia tertanya-tanya apa yang berlaku dan apa salahnya sehingga kamu sepi tanpa berita. Belajarlah untuk berterus-terang kerana berterus-terang itu lebih baik daripada kamu membiarkan dia membuat tanggapan sendiri.

4. Memahami Pandangan Orang
Ini adalah sangat penting. Kamu mungkin ingat sahabatmu sudah cukup senang dengan sikap kamu tetapi rupanya tidak. Sebaliknya dia memendam banyak ketidakpuasan hati tentang sikapmu. Jadi pastikan kamu memahami apa yang sahabat-sahabatmu rasa tentang dirimu. Sekiranya kamu gagal mendapat jawapan sendiri, tanyakankepada mereka secara jujur. Catat apa saja yang perlu kamu perbaiki dan berusahalah untuk memperbaikinya.

5. Tidak Perlu Bersaing
Jangan biarkan persahabatan berubah menjadi medan persaingan siapa yang paling kaya, siapa yang pakaiannya paling berjenama dan trendy atau siapa yang mempunyai kereta paling besar dan mahal. Persaingan yang tidak sihat ini hanya akan membuat persahabatan menjadi permusuhan. Apalah gunanya kamu ada segala-gala tetapi tiada orang yang sudi berkawan dengan kamu. Jadi pastikan kamu kikis semua perasaan riak itu.

6. Imej Yang Bersih
Sentiasa pastikan kamu mempunyai imej diri yang realistik dan baik. Bersikap sombong atau selalu mengkritik hanya akan membuat persahabatan rosak dan ramai yang akan menjauhkan diri daripada kamu. Andai kamu mahu menegur sekalipun, gunakanlah cara yang paling baik dan beri nasihat untuk kebaikannya bukan untuk menyakitkan hatinya.

7. Terlalu Banyak Merungut
Setiap kali bertemu, ada sahaja yang kamu tidak puas hati. Merungut tentang keluarga, kekasih, pakaian, kereta dan sebagainya. Jangat berterusan merungut kerana itu akan membuatkan  persahabatan sangat membosankan.

8. Terapkan Nilai Murni
Sekiranya kamu berharap akan mempunyai shabat yang baik serta jujur dengan kamu. Kamu sendiri juga perlu mempunyai sifat yang sama. Gali sebanyak mungkin nilai-nilai murni yang perlu kamu terpakan dalam diri seperti jujur, prihatin, bertanggungjawab, adil dan bekerjasama. Hal itu juga akan meningkatkan keyakinan diri kamu dan secara tidak langsung akan menjadikan kamu shabat yang menghiburkan serta menarik untuk didampingi.

9. Sense of Humor
Janganlah terlalu serius. Sekali sekala apa kata kamu cuba bergurau dan mengusik. Cara ini secara tidak langsung dapat mewarnai lagi persahabatan kamu. Namun, harus diingat bergurau juga ada hadnya jangan sampai menyentuh hal-hal yang dianggap sensitif oleh sahabatmu.

10. Menjadi Pendengar Yang Baik
Bertanyakan juga tentang masalah sahabatmu dan jangan hanya membicarakan masalah kamu sahaja. Persahabatan tidak akan bertahan kalau kamu hanya menumpukan pada diri kamu sendiri. Sahabat yang baik harus sentiasa bersedia mendengar masalah sahabatnya. Biarpun mungkin kamu tidak dapat memberikan sebarang bantuan, namun dengan mendengar masalahnya, kamu sudah berjaya meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh sahabatmu itu.

Sumber: Majalah Remaja, 15 Jun 2009

Tuesday, August 24, 2010

7 Perkara Lelaki Perlu Faham Tentang Wanita

Sunyinya tanpa wanita...
1. Mengapa Teman Wanita Saya Suka Bergayut Di Telefon Berjam-jam Lamanya?
Satu Kajian menunjukkan lelaki lebih suka dan selesa membuat panggilan telefon dengan kerap, atau dalam kata lain, menjadi pemanggil yang produktif, tetapi mengawal perbualan dengan penjimatan kata-kata, kerana lelaki beranggapan cara itu lebih mengesankan apabila memancing cinta. Wanita pula dikatakan memiliki cakupan topik yang lebih luas (bayangkan jika wanita mahu bercakap tentang segala-galanya. Daripada kisah artis, makanan, kasut baru, gincu, rambut baru, tentang keluarga dan akhir sekali tentang anda). Maka usah hairanlah jika wanita akan mengambil masa yang amat lama untuk satu-satu perbualan telefon. Dan lagi, wanita percaya keintiman menerusi telefon merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mempertahankan perhubungan. Benar atau tidak? Tepuk dada tanyalah selera.

2. Mengapa Wanita Suka Bergosip?
Tidak semua wanita suka bergosip sebenarnya. Selebihnya, wanita pasti akan menjawab, "Saya punya sebab untuk bercakap kerana saya perlu tahu apa-apa yang berlaku di persekitaran saya". Ingat wanita sememangnya dibekalkan dengan naluri suka mengorek rahsia, juga keinginan untuk menggali dan mencari 'sesuatu' yang tersembunyi daripada berpuas hati dengan melihat permukaannya sahaja.

3. Mengapa Isteri Selalu Berleter?
Wanita berleter kerana itu adalah mediumuntuknya melampiaskan sepenuh perasaan terhadap lelaki. Malah banyak wanita mengakui, mereka terpaksa berleter kerana itu saja caranya untul menembusi tembok ego lelaki yang enggan mendengar nasihat, enggan memberi pendapat, malah enggan mengakui kesalahan sendiri.

4. Mengapa Pasangan Saya Cemburukan Kawan Wanita Saya?
Selain cemburu, persoalan pokok yang timbul dari isu ini adalah tentang sikap dan kepercayaan wanita terhadap pasangannya. Kerana tidak percaya dengan lelaki, kerana fikirannya selalu memikirkan tentang masa si lelaki yang 'dicuri' oleh kawan-kawan wanitanya di pejabat. Maka kerana itulah cemburu terbenih.

5. Mengapa Isteri Saya Memberitahu Anak Demam Di Kala Saya Keluar Minum Dengan Kawan-kawan?
Memang adat wanita jengkel dan tidak senang jika suaminya keluar-ria dengan kawan-kawannya walau waktu malam (walaupun untuk minum teh tarik) kerana wanitalah yang tersekat dan terkedang di rumah menjaga anak yang berteriak dan menangis. Wanita sebenarnya menghantar isyarat 'Jangan Tinggalkan Saya'. Jadi lelaki, apa kata peruntukan sedikit masa untuk keluar bersama isteri sekali-sekala.

6. Mengapa Teman Wanita Saya Kuat Berbelanja?
Tidak seperti lelaki, wanita memerlukan 10 pasang kasut untuk disesuaikan dengan aktiviti sosialnya. Namun, lelaki harus ingat wanita ialah pemegang kunci perbelanjaan dapur dan wanita juga adalah orangnya yang menata masa depan rumah, daripada soal pemilihan langsir, alas meja , pelapik sofa sehinggalah ke pasu bunga.

7. Mengapa Pasangan Saya Tidak Berapa Rapat Dengan Keluarga Saya Terutama Ibu Saya?
Tidak ada ibu mertua yang tidak gembira menerima menantunya yang baru. Namun apabila terjadi kepada seorang wanita tua yang perlu menerima kehadiran seorang wanita baru di dalam hidup anak lelakinya, maka fasa pertukaran kasih sayang pasti akan berlaku. Disinilah perasaan yang unik akan terjadi. Perasaan khuatir atau takut dilihat sebagai perampas takhta adalah perkara lazim kepada seorang menantu wanita. Jadi jangan hairan jika dia takut-takut untuk mendekati ibu mertua.

Sumber: Majalah Pengantin, September 2010